GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


GARA-GARA panik dan takut melihat sekatan jalan raya di Plaza Tol Bagan Ajam, Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Butterworth, dekat Kepala Batas, dua jurujual yang menaiki kereta berpatah balik dengan melawan arus, semalam.

Namun, mereka kemudian ditahan berhampiran pintu masuk Pelabuhan Terminal Kontena Utara Butterworth (NBCT), tidak lama kemudian.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu yang berlaku pada 6.50 petang.

Katanya ketika kejadian, kereta dari arah Sungai Sungai Dua menghala ke plaza tol itu berpatah balik ketika tiba di hadapan lorong Touch N Go sebelum dipandu melawan arus.

“Anggota yang bertugas mengejar kenderaan itu kira-kira lima kilometer sebelum mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan berhampiran pintu masuk NBCT.

“Mereka kemudian dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut Noorzainy, siasatan mendapati kenderaan yang dipandu lelaki berusia 27 tahun bersama penumpang berusia 35 tahun keluar dari rumah di Bukit Minyak kerana mahu ke klinik di Bagan Ajam, bagi mendapatkan suntikan dan cuci luka.

Akibat terlalu panik dan takut apabila melihat sekatan jalan raya di hadapan plaza tol itu, pemandu berkenaan berpatah balik sebelum melawan arus.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Peraturan Jalan 1987 dan Peraturan 7(1) Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

“Orang ramai dinasihati supaya patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan serta memandu dengan berhati-hati dan peka dengan isu yang melanda negara pada masa ini,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 10:51 AM