GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hadzlihady Hassan


Butterworth: Pemain bola sepak bawah 19 tahun negeri ini diugut ditikam dengan pisau oleh empat lelaki yang kemudian melarikan motosikal ditunggang di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa berusia 19 tahun bersama teman wanita berusia 18 tahun menaiki motosikal sebelum didatangi empat suspek yang terus menahan motosikal mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, suspek kemudian menahan dan terus merampas kunci motosikal dan mengugut mahu menikam pasangan terbabit sekiranya mereka melawan.

"Suspek kemudian melarikan motosikal berkenaan dan meninggalkan pasangan terbabit di tepi jalan.

"Setakat ini, kita masih mengesan semua empat suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 1:42 PM