Ahmad Rabiul Zulkifli

“BIARPUN dua jari yang putus itu gagal disambung semula, ia tidak membuatkan saya serik untuk menggunakan mesin penarik bot itu,” kata Mohd Fauzi Dillah, 39, ketika ditemui Harian Metro, di Kuala Nerus hari ini.

Katanya, sepanjang menjalankan kegiatan menangkap ikan, kejadian itu antara paling ngeri yang pernah dilaluinya.

“Bayangkan melihat jari telunjuk dan hantu sendiri hancur dimamah wayar kabel itu.

“Saya menjerit untuk memberitahu adik mengenai jari yang tersepit tetapi adik tidak mendengarnya dan terus menghidupkan enjin itu,” katanya.

Dia tidak menyalahkan adiknya berikutan kejadian itu dan menganggap ia sebagai takdir selain perlu reda dengan kejadian itu.

“Selepas kecederaan itu sembuh, saya akan mulakan kegiatan nelayan seperti biasa dan tetap menggunakan mesin penarik bot itu," katanya.

Terdahulu Pengerusi Skuad Muda 1JPJ Malaysia Datuk Seri Ismail Ahmad menyampaikan sumbangan kepada Mohd Fauzi yang juga ahli (SM1JPJ).

Media sebelum ini melaporkan seorang nelayan mengalami pengalaman ngeri apabila dua jari tangan kanannya putus selepas tersepit pada wayar kabel ketika menaikkan bot gentian kaca milik rakannya.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berkemungkinan telah menyebabkan Mohd Fauzi kehilangan jari telunjuk dan hantu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 2:39 PM