Rizal
Rizal
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang kini dibawah jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rizal Ng Chong Wei, 6, akan dihantar ke Taman Sinar Harapan di Terengganu jika waris atau ahli keluarga terdekat tidak tampil untuk menuntutnya pada tarikh akhir Khamis depan.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Klang Noor Adelin Nordin berkata, kes kanak-kanak itu akan dirujuk ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Klang Khamis ini bagi mendapatkan perintah tetap untuk menempatkan Rizal di institusi kendalian JKM.

“Sekiranya tiada waris mahupun penjaga sah membuat tuntutan, kanak-kanak ini akan dihantar ke Taman Sinar Harapan bagi tempoh maksimum tiga tahun mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

“Selepas tempoh itu, kami akan membuat semakan semula bagi mengesan waris kanak-kanak ini melalui siaran akhbar. Prosesnya sama jika tiada sesiapa menuntut, dia akan terus tinggal di institusi sama,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas usia Rizal mencecah 14 tahun, kanak-kanak itu akan dipindahkan ke Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru, Johor.

Jelasnya Rizal, akan ditempatkan di pusat perlindungan kendalian JKM hingga usianya 18 tahun jika tidak ada pihak tampil bagi menuntut hak untuk menjaganya.

Harian Metro Sabtu lalu, menyiarkan kisah Rizal yang bukan saja kehilangan adik lelakinya akibat dihempap televisyen, malah ibunya melarikan diri sejak setahun lalu manakala bapanya kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 4:25 AM