KANAK-KANAK lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Haffizzudden Husain, 12, yang didapati tinggal di pusat siber di Kempas. FOTO Ihsan JKM Johor
KANAK-KANAK lelaki Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Haffizzudden Husain, 12, yang didapati tinggal di pusat siber di Kempas. FOTO Ihsan JKM Johor
Mary Victoria Dass


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) lembam yang terpaksa tinggal di pusat siber di Kempas, Johor Bahru, sejak awal bulan ini sebelum ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru.

Lebih malang, ibunya dikatakan berpindah rumah dan gagal ditemui menyebabkan mangsa terpaksa mendapatkan perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM Johor Bahru, Normawarni Mahat berkata, kisah malang kanak-kanak berkenaan terbongkar apabila dia dikesan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, 12 Oktober lalu.

Menurutnya, ketika ditemui kanak-kanak itu didapati berada di kawasan berhampiran pusat siber tanpa pengawasan dewasa.

“Walaupun lembam dan tidak memiliki sebarang dokumen, kanak-kanak itu masih boleh berkongsi maklumat berkaitan identiti dirinya, tempat tinggal lama dan maklumat ibunya.

“Kanak-kanak berkenaan, Muhammad Haffizzudden Husain, 12, menyatakan ditinggalkan di tempat awam sebelum pemilik pusat siber mengajaknya tinggal di premis berkenaan, sejak awal Oktober lalu,” katanya.

Normawarni berkata, kanak-kanak itu kemudian ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tampoi sebagai penempatan sementara.

“Pada 14 Oktober 2018, kanak-kanak berkenaan dibawa oleh pelindung ke tempat kerja ibunya dan tempat tinggal keluarganya berhampiran Pasaraya A-Mart Kempas.

“Bagaimanapun mengikut maklumat, keluarganya sudah berpindah dan hasil semakan, ibu kandung kanak-kanak berkenaan pernah menerima bantuan segera daripada JKM pada Julai tahun lalu untuk tujuan pulang ke Kluang, Johor.

“Malah kanak-kanak berkenaan bersama keluarganya juga pernah ditempatkan di Anjung Singgah, Johor Bahru untuk penempatan sementara,” katanya.

Normawarni berkata, sepanjang kanak-kanak itu tinggal di institusi JKM, tiada sebarang permohonan lawatan diterima pengurusan dari ahli keluarganya.

“Kanak-kanak berkenaan dalam keadaan sihat dan dikategorikan sebagai kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Subseksyen 17 (1) (d) Akta Kanak-kanak 2001

Menurutnya, orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris dan keluarga kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi talian 07-2232606.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 2:27 PM