PENGUNJUNG Hotel Lexis Hibiscus menyalakan lilin di tepi pantai sempena Sambutan Hari Bumi bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam di Port Dikcson. FOTO Adzlan Sidek
PENGUNJUNG Hotel Lexis Hibiscus menyalakan lilin di tepi pantai sempena Sambutan Hari Bumi bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam di Port Dikcson. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KIRA-kira 2,400 pengunjung Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson 'cemas' apabila bekalan elektrik di hotel itu 'terputus' menyebabkan mereka terpaksa bergelap selama sejam, malam tadi.

Bagaimanapun ia hanyalah gimik pada sambutan Earth Hour atau Hari Bumi yang diraikan serentak di kebanyakan negara yang bermula 8.30 hingga 9.30 malam tadi.

Penolong Pengurus Komunikasi hotel berkenaan, Jini Sebastian berkata, program itu bertujuan menyahut saranan supaya sayangkan bumi dan menjimatkan tenaga.

"Pada malam ini (tadi) kami mematikan lampu selama 60 minit yang bertujuan menjimatkan tenaga. Kami mahu pengunjung dan orang ramai menghayati betapa pentingnya bumi ini kepada manusia," katanya.

Menurut Jini, sebaik hotel bergelap pengunjung menyalakan lilin yang disediakan di lobi bagi menunjukkan cahaya sememangnya penting.

"Program ini mengajar mereka menghargai bumi, memelihara alam sekitar dan menjaga keindahan sedia ada. Ini program pertama kita dan akan diadakan lebih meriah tahun depan," katanya ketika ditemui pada majlis itu, di sini.

Jini berkata, sementara itu di tepi pantai hotel berkenaan, pengunjung disajikan dengan persembahan demonstrasi api yang dilakukan oleh 12 kakitangan.

"Mereka seterusnya dipersembahkan tarian pantai yang diselitkan muzik yang menyemai sifat keamanan dan penjagaan bumi," katanya.

Menurutnya, pengujung yang hadir terhibur malah turut sama menyertai aktiviti di tepi pantai sebagai sokongan terhadap sambutan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 10:02 PM