RAMLI bersama tiga penyanyi lain membuat persembahan sempena MBW 2018 di MAEPS, Serdang, malam ini.
RAMLI bersama tiga penyanyi lain membuat persembahan sempena MBW 2018 di MAEPS, Serdang, malam ini.
Faris Fuad


ARTIS tersohor negara Datuk Ramli Sarip bersama 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan pameran Jambori Minggu Permotoran Negara (MBW) 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, malam ini.

Penampilan Ramli di atas pentas utama berdekatan Dewan A MAEPS akan disertai tiga penyanyi tempatan lain iaitu Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin dan Wanie Mentor.

Ketua Pegawai Operasi MAEPS Norafizah Rahman berkata, empat artis berkenaan akan membuat persembahan untuk acara kemuncak MBW 2018, malam ini.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 10 buah motosikal akan dihadiahkan kepada pengunjung menerusi acara cabutan bertuah.

“Selain itu, kita akan hadiahkan barangan elektrik menerusi acara itu, apa dan berapa jumlah barangan berkenaan?... itu antara elemen kejutan yang akan ‘didedahkan’ malam ini.

“Ini baru permulaan, esok kita jangkakan 100,000 pengunjung akan membanjiri MAEPS.

“Tengah hari esok, ada majlis perasmian MBW 2018 yang dijangka disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, pengunjung boleh beramah mesra dengan baginda, selain bertanya mengenai koleksi kenderaan peribadi Sultan Johor yang diperagakan pada pameran kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 8:22 PM