LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Mohammad Ishak


KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) kehilangan pensyarah berpengalaman dan bermotivasi tinggi dalam pendidikan Islam dengan pemergian Dr Mohd Shahril Othman, yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa Oman, petang semalam.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Allahyarham yang juga Pensyarah Fakulti Pengajian dan Kontemporari UniSZA dikenali sebagai seorang yang komited dan berbakat besar dalam bidang tugasnya.

Katanya, seluruh warga KPT menyampaikan salam takziah dan berkongsi kesedihan dengan keluarga Allahyarham yang turut bertugas sebagai Pengarah Pejabat Kolej Kediaman (PKK) UniSZA.

“Ia berita yang amat mengejutkan kerana Allahyarham sebelum ini berada dalam keadaan sihat dan tidak pernah mengadu mengenai masalah kesihatan.

“Kita sangat bersedih dengan kehilangan seorang tokoh akadamik yang banyak menyumbang kepada UniSZA khususnya.

“Allahyarham juga pernah dipilih sebagai peneraju utama untuk melatih Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Besut menerusi Program Neuro Linguistic (NLP)," katanya selepas menutup program 'Millennium Youth' 2018 di Masjid Hadhari di Jertih, hari ini.

Katanya, jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke Malaysia dan ketika ini masih berada di Hospital Oman.

“Jenazah akan dibawa pulang segera selepas segala urusan selesai. Pejabat kerajaan di sana (Oman) tutup pada Jumaat dan Sabtu, justeru urusan bedah siasat belum dilakukan,” katanya.

Berita berkaitan

Pensyarah UniSZA meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 7:23 PM