Kebakaran lalang antara kes    tertinggi yang dilaporkan dalam tempoh tiga bulan di  Kedah.
Kebakaran lalang antara kes tertinggi yang dilaporkan dalam tempoh tiga bulan di Kedah.
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Kes kebakaran terbuka di negeri ini meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan berbanding tahun sebelumnya berikutan cuaca panas melampau.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zahar Abdullah berkata, setakat ini 419 kes kebakaran terbuka dilaporkan tiga bulan pertama tahun ini, berbanding 261 kes dalam tempoh sama pada 2017.

Katanya, cuaca panas mendorong kebakaran lebih cepat merebak sehingga berlaku peningkatan kes.

“Antara daerah paling banyak menerima laporan kes itu adalah Sungai Petani iaitu 66 kes, diikuti Bukit Kayu Hitam (54 kes) dan Jalan Raja (42 kes). Daripada jumlah itu, 19 kes membabitkan kebakaran kebun dan ladang, 15 kes kebakaran hutan dan 385 kes membabitkan kebakaran belukar dan lalang.

“Tahun lalu, enam kes dilaporkan membabitkan kebakaran kebun dan lalang, tujuh kes kebakaran hutan manakala 284 kes pula membabitkan kebakaran belukar dan lalang,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:04 AM