MOHAMADUL Ehsan menunjukkan statistik kebakaran ketika cuaca panas di Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MOHAMADUL Ehsan menunjukkan statistik kebakaran ketika cuaca panas di Kedah. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah kini berdepan pelbagai tugas dan cabaran membabitkan kes kebakaran besar berikutan cuaca panas di negeri ini.

Dalam kes terbaharu, anggota BBP Sungai Petani terpaksa bersengkang mata lebih empat hari untuk memadam api longgokan sampah di Semeling selain berdepan memadam api yang membabitkan kebakaran besar di sebuah kilang perindustrian di Sungai Petani.

Terdahulu, anggota BBP Jitra pula terpaksa ‘berperang’ hampir lapan jam memadam kebakaran di puncak bukit di Kampung Wang Perah selepas api berjaya dikesan 22 jam sebelum itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sepanjang cuaca panas yang bermula sejak Disember tahun lalu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima sekurang-kurangnya 30 atau 40 panggilan sehari berhubung kebakaran membabitkan belukar, longgokan sampah, hutan dan lalang.

Beliau berkata, berikutan itu hanya 20 peratus daripada 960 anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) dibenarkan bercuti manakala anggota lain bertugas.

“Berdasarkan ramalan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas ini dijangka berterusan sehingga Mac ini.

“Setakat ini beberapa daerah terutamanya Langkawi tidak menerima langsung hujan sejak lebih sebulan lalu,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di Alor Setar, hari ini.

KEBAKARAN tempat pelupusan sampah di Semeling. FOTO ihsan bomba
KEBAKARAN tempat pelupusan sampah di Semeling. FOTO ihsan bomba

Mohamadul Ehsan berkata, berdasarkan statistik kebakaran membabitkan belukar dan lalang yang diterima sebelum ini adalah sebanyak 430 kes, kebun dan ladang (11) manakala hutan pula 25 kes yang direkodkan sejak 1 Januari hingga hari ini.

“Antara BBP yang paling banyak menerima kes kebakaran belukar dan lalang di Sungai Petani iaitu 71 kes, diikuti Amanjaya (50), Alor Setar (41), Bukit Kayu Hitam (40).

“Selain kebakaran hutan, belukar, lalang dan hutan yang berlaku sepanjang awal tahun, anggota bomba juga terpaksa berdepan dengan kes kebakaran rumah, kilang serta kes khidmat khas lain,” katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, sepanjang tahun lalu, 1,785 kes dilaporkan membabitkan kebakaran belukar dan lalang, 61 kes kebakaran kebun dan ladang serta 34 kes kebakaran hutan.

Katanya, JBPM Kedah mempunyai lori tangki berkapasiti 20,000 liter dan 10,000 liter yang diletakkan di beberapa balai terutama yang berpotensi berlaku kebakaran besar.

Katanya, selain itu sumber air berhampiran seperti sungai, longkang dan parit juga dapat membantu memadam kebakaran di kawasan tertentu.

“Anggota kami juga turut mendapat bantuan daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di seluruh negeri ini untuk membantu mempercepatkan pemadaman.

“Orang ramai tidak digalakkan melakukan pembakaran terbuka pada waktu siang selain mengawal pembakaran sampah dan tidak meninggalkan bara api di kawasan kering yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 12:52 PM