MALIK (kiri), Nurul Fatihah Sulaini (tengah) dan Ghazali Kori (kanan) menunjukkan anugerah yang dimenangi pada Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
MALIK (kiri), Nurul Fatihah Sulaini (tengah) dan Ghazali Kori (kanan) menunjukkan anugerah yang dimenangi pada Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 di sini. FOTO Faizul Azlan Razak
Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) merangkul enam kategori anugerah Majlis Apresiasi Media Terengganu 2022 di Duyong Marina & Resort, Pulau Duyong, di sini, malam tadi.

Majlis anjuran Urusetia Penerangan Darul Iman (Updi) itu membabitkan Anugerah Media Cetak kategori Berita Terbaik dan Foto Terbaik, manakala Anugerah Media Digital kategori Berita Terbaik, Foto Terbaik dan Video Terbaik.

Jurugambar Sambilan NSTP, Ghazali Kori mencuri tumpuan apabila meraih tempat kedua kategori Video Terbaik Media Digital dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM2,000.

Ghazali turut memenangi dua lagi kategori dengan tempat ketiga dalam kategori Foto Terbaik Media Cetak (RM1,000 dan trofi) dan Foto Terbaik Media Digital (RM1,000 dan trofi).

Wartawan Sukan Sambilan Harian Metro, Malik Muhammad menang tempat kedua bagi kategori Berita Terbaik Media Digital dengan tajuk berita 'Terengganu Anjur Sukan Patuh Syariah Pertama di Malaysia' sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi.

Wartawan Sambilan Berita Harian, Nurul Fatihah Sulaini menang tempat ketiga kategori Berita Terbaik Media Cetak dengan tajuk berita 'Pantulan Cahaya Bluepool Memukau' sekali gus membawa pulang hadiah RM1,000 berserta trofi.

Seorang lagi wartawan sambilan Harian Metro, Muhammad Nazdy Harun pula meraih tempat kelima kategori Berita Terbaik Media Cetak dan membawa pulang hadiah wang tunai RM500.

Hadiah disampaikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah Updi, Mohd Soud Said.

Pada majlis itu juga, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus menerima Anugerah Tokoh Media Berpengaruh, manakala pelakon, Eman Manan menerima Anugerah Media Sosial Influencer Selebriti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2022 @ 9:00 AM