DARI kiri, Syahirah,  Mohd Nasif, Noor Aznida dan Rozainah.
DARI kiri, Syahirah, Mohd Nasif, Noor Aznida dan Rozainah.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Universiti Malaysia Terengganu (UMT), mewujudkan pasukan forensik banjir bagi menjalankan kajian untuk mengenal pasti punca bencana itu berlaku serta impaknya kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, UMT memperuntukkan RM50,000 bagi menjayakan kajian itu.

“UMT akan bekerjasama dengan Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan kajian yang dijalankan selama tiga bulan ini memperoleh keputusan memuaskan,” katanya selepas Majlis Apresiasi Media (MAM) 2015 UMT di Taman Tamadun Islam, di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMT Prof Dr Effendy Abd Wahid.

Ibrahim berkata, kajian itu akan merungkai faktor dan punca utama yang menyumbang kepada banjir di beberapa negeri pada Disember tahun lalu.

“Kami jangka keputusan daripada kajian yang dijalankan bermula 12 Januari lalu akan diperoleh pada akhir Mac ini.

“Berdasarkan kajian diperoleh, ia akan menjadi panduan untuk menyelesaikan masalah banjir dan persiapan bagi menghadapi bencana ini pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, ahli akademik perlu mengkaji di lapangan dan menyumbang idea kepada masyarakat bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi seperti banjir demi kepentingan bersama.

Pada majlis itu, tiga wartawan dan dua jurugambar Media Prima Berhad merangkul hadiah utama Anugerah Gerbang Pena MAM iaitu Ketua Biro Harian Metro Terengganu Mohd Nasif Badruddin yang memenangi anugerah bagi kategori Penulisan Berita Bahasa Melayu Segmen Penyelidikan, wartawan sambilan Berita Harian Noor Aznida Alias (Penulisan Berita Bahasa Melayu Segmen Am) dan wartawan New Straits Times Nadia Badarudin (Penulisan Berita Bahasa Lain).

Dua jurugambar Berita Harian, Rozainah Zakaria memenangi anugerah bagi kategori Gambar Terbaik Segmen Penyelidikan dan jurugambar sambilan Berita Harian Syahirah Abdullah (Gambar Terbaik Segmen Am).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 January 2015 @ 7:45 AM