Nor Amalina Alias


TIGA kedai termasuk stor butik barangan pengantin hangus dalam kejadian kebakaran di Pasar Ketereh, malam tadi.

Dalam kejadian 8.12 malam tadi, stor barangan pengantin milik Detik Indah Bridal rosak teruk terutama di bahagian bumbung, manakala dua lagi kedai iaitu kedai makan dan kedai gambar hangus seratus peratus.

Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Pemilik butik, Nora Elira Mat Noor, 39 berkata, dia sedang menyolek pelanggannya di Limbat, Melor untuk majlis akad nikah ketika menerima panggilan tentang kebakaran di kedainya.

Katanya, walaupun terkejut, namun dia terpaksa menyudahkan kerja sebelum bergegas ke kedai.

"Sebaik tiba, saya lihat api sudah marak dan penduduk membantu mengeluarkan semua barangan pengantin saya," katanya ketika ditemui di Kedai Ketereh, di sini, malam tadi.

Nora berkata, kebakaran turut memusnahkan pintu gerbang yang baru disiapkan dan beberapa alatan perkahwinan bagi majlis Isnin nanti.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana api tak sempat merebak ke sebelah kedai saya yang satu lagi yang menempatkan pakaian pengantin.

"Kerosakan di stor tak teruk kerana banyak peralatan sudah ditempatkan di rumah beberapa pengantin yang menempah untuk majlis pada cuti sekolah kali ini," katanya yang menjalankan perniagaan butik pengantin sejak 12 tahun lalu.

Pemilik kedai gambar, Ramli Jaafar, 50, pula berkata, ketika kejadian dia berada di dalam kedai sebelum dimaklumkan jiran yang ternampak api dari tingkat dua kedai gambarnya.

Katanya, dia cuba memadam kebakaran dengan dua pemadam api, namun gagal kerana api cepat marak kerana kedainya diperbuat daripada kayu.

Sementara itu, Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Abu Hassan Mohd Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan 8.12 malam dan tiba di lokasi pada 8.18 malam.

Katanya, sebanyak tiga buah jentera daripada Balai Bomba Ketereh, Tunjung dan Kota Bharu serta satu jentera bomba tentera daripada Kem Desa Pahlawan dengan 21 terbabit dalam operasi pemadaman.

Katanya mereka dibantu oleh 20 anggota Persatuan Bomba Sukarela (PBS) Pasir Tumbuh, Ketereh dan Kota Bharu, lima anggota tentera serta lima anggota polis.

"Kita berjaya mengawal kebakaran 8.50 malam dan api padam sepenuhnya 40 minit kemudian iaitu 9.30 malam," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 11:44 AM
KEADAAN kebakaran di Pasar Ketereh, semalam. FOTO Ihsan pembaca
KEADAAN kebakaran di Pasar Ketereh, semalam. FOTO Ihsan pembaca