LUQMAN melukis untuk membina keyakinan diri.
LUQMAN melukis untuk membina keyakinan diri.

Setiap pelukis mempunyai teknik tersendiri dalam lukisan potret. HAZRIL MD NOR tertarik dengan karya seorang anak muda ini yang berjaya mewujudkan ‘mood’ dalam lukisan bertemakan watak adiwira.

Melukis ibarat hobi sesuai untuk ‘lari’ daripada realiti. Sekurang-kurangnya itulah pegangan Luqman Hakim Mohd Khialdin, 22, yang meminati bidang seni visual sejak berada di bangku sekolah lagi.

Anak muda yang masih tebal sifat pemalu ini mula melukis sejak kecil, namun keinginannya untuk mula serius dalam hobi kesenian itu bermula sejak dua tahun lalu di mana peristiwa pada waktu kecil pernah menjadi penghalang utama dalam hidupnya.

“Saya pernah dibuli di sekolah dan itu menyebabkan saya trauma dan gemar berseorangan. Namun, apabila melangkah ke alam universiti, di situlah saya sedar saya banyak menghabiskan masa termenung dan tidak bergaul dengan orang lain.

“Selepas ditegur pensyarah berkenaan hal itu, saya membuat keputusan untuk mengisi masa terluang dengan melukis watak adiwira. Pada mulanya, saya melukis hanya sekadar suka-suka. Namun, pada permulaan semester, saya mula mencuba nasib dalam karya seni kerana kawan-kawan pun turut beri semangat dan keyakinan pada diri saya,” katanya.

Cuba nasib

Kata Luqman, dia mula membuka ‘booth’ untuk mempamerkan hasil seninya pada pelajar universiti dan siapa sangka tuah menjadi miliknya apabila ramai yang menyukai dan ingin membeli lukisannya itu.

“Tidak sangka ramai yang menyukai lukisan saya sungguhpun saya masih lagi baru dalam bidang seni dan kurang pengalaman. Alhamdulillah, mungkin rezeki saya berada dalam bidang ini.

“Sebenarnya bukanlah ‘mengejar’ rezeki semata-mata kerana bagi saya melukis antara medium untuk lupakan masalah dan paling penting, ia meningkatkan keyakinan diri untuk berkawan dengan semua orang walaupun pengalaman lalu pernah mematahkan semangat saya,” katanya yang memiliki ijazah sarjana muda animasi dan efek visual dari Universiti Multimedia (MMU).

Ketika ditanya mengenai teknik lukisan digunakan, Luqman berkata, dia lebih selesa melukis dengan menggunakan rujukan dan menggelapkan beberapa bahagian kerana ia menampakkan ‘mood’ pada sesebuah lukisan.

“Lukisan dihasilkan menggunakan ‘drawing’ pen dan pada mulanya saya akan merujuk model adiwira untuk mengamati kedudukan anggota badan yang akan dilukis. Ketika melukis, saya beri penekanan pada konsep ‘stroke’ dan ‘shading’ di mana lukisan itu menggambarkan aura yang gelap dan keperibadian watak adiwira,” katanya.

Minat adiwira

Bagi Luqman, dia memilih tema adiwira kerana ia mencerminkan sebuah realiti di mana seseorang itu perlu bertanggungjawab dengan apa yang dimiliki, selain memahami erti menjadi manusia yang berbeza daripada orang lain.

“Adiwira boleh dilihat sebagai kiasan kepada sifat manusia di mana tanggungjawab diutamakan apabila kita mempunyai kuasa luar biasa. Berbeza dengan hero Marvel, saya lebih menggemari komik DC kerana plotnya lebih relevan dan tidak terikat dengan tema adiwira yang klise.

“Sebagai contoh, saya amat gemar watak Batman kerana ia menunjukkan sisi kelemahan seorang adiwira yang masih bergelar sebagai manusia. Batman dilihat sebagai hero yang bersahaja, namun dia berupaya melawan ketakutan daripada peristiwa lalu yang pernah menghantuinya,” katanya.

Perluas skop

Selain berupaya melukis pelbagai model adiwira daripada komik DC dan Marvel, Luqman juga berupaya melukis pelbagai model lain dan dia juga menanam hasrat untuk mempelbagaikan teknik lukisan tidak terhad pada penggunaan ‘drawing’ pen semata-mata.

“Boleh dikatakan saya masih baru dalam bidang ini dan banyak lagi perlu dipelajari. Justeru, selepas ini saya ingin meneroka animasi lain dan melukis menggunakan medium lukisan yang berlainan bergantung juga kepada permintaan pelanggan.

“Dari segi harga, lukisan yang dicetak berharga dalam lingkungan RM10 hingga RM20 manakala RM50 pula untuk yang asli,” katanya yang boleh dihubungi di laman sosial Facebook (Luqman Hakim Arts).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:00 AM