SAFRYAN menunjukkan kasut bola baru, sinpad dan stokin disumbangkan individu dari Selangor sebagai persediaan untuk ke Barcelona. FOTO Rafiqah Dahali
SAFRYAN menunjukkan kasut bola baru, sinpad dan stokin disumbangkan individu dari Selangor sebagai persediaan untuk ke Barcelona. FOTO Rafiqah Dahali
Rafiqah Dahali


PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Peter Mojuntin, Penampang, Safryan Zaki yang dijadual menjalani latihan bola sepak di Barcelona, kini mampu tersenyum selepas menerima sebahagian sumbangan barangan sukan dan but daripada pelbagai pihak.

Pelajar Tingkatan Satu itu sebelum ini buntu apabila pelbagai barangan dan peralatan sukan miliknya termasuk kasut bola baru dibeli berharga RM700 hangus selepas asrama lelaki sekolah berkenaan terbakar, baru-baru ini.

Safryan menerima sepasang kasut bola bernilai RM699 serta kelengkapan sukan melalui sumbangan seorang penyumbang dari Selangor.

''Saya gembira dan bersyukur kerana ada pemberi sumbangan baik hati menyumbangkan wang untuk membeli kasut bola dan peralatan sukan diperlukan.

''Guru sukan saya, Cikgu Medi Marau menerima sumbangan wang itu dan kemudian membawa saya ke kedai peralatan sukan di Kota Kinabalu untuk membeli kelengkapan diperlukan.

''Walaupun saya tidak mengenali pemberi sumbangan itu, saya amat berterima kasih kepada beliau. Kini saya lebih bersemangat untuk menjalani program latihan di Barcelona kelak,'' katanya ketika ditemui hari ini.

Safryan antara pelajar Malaysia yang terpilih menjalani Program Latihan Pengantarabangsaan (Overseas Training Programme) untuk kategori remaja bawah 14 tahun anjuran sebuah stesen televisyen.

Pelajar berasal dari Tawau itu berkata, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Datuk Peter Mojuntin, Adelaide Cornelius serta dua guru akan membawanya membeli barang keperluan lain untuk dibawa ke Sepanyol.

Safryan dijadual bertolak ke Kuala Lumpur esok dan seterusnya menaiki penerbangan ke Barcelona pada 15 Mac dan dijangka kembali ke tanah air pada 26 Mac.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi pada Isnin lalu, seramai 117 pelajar terjejas selepas satu blok asrama lelaki menempatkan 11 bilik di SMK Datuk Peter Mojuntin musnah dalam kebakaran, namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 5:56 PM