Siti A'isyah Sukaimi

LIMA penuntut Malaysia dari National University of Ireland kemalangan semasa dalam perjalanan dari pekan kecil, Letterkenny ke Galway, Ireland jam 6 petang waktu tempatan, 9 Mac lalu.

Kementerian Luar memaklumkan, semua mangsa terbabit dibawa ke Mayo General Hospital di Castlebar untuk menerima rawatan susulan.

"Tiga mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang, manakala dua lagi masih menerima rawatan.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa terbabit dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya melalui kedutaan besar di Dublin, Ireland akan terus memantau keadaan mangsa serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 4:00 PM