GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Khairul Azran Hussin


TIDAK menerima vaksin lengkap antara faktor kanak-kanak di negara ini dijangkiti beguk.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ramai ibu bapa mengambil mudah perkara itu, sedangkan suntikan vaksin bertujuan melindungi anak mereka ketika berada di luar rumah.

“Dalam program imunisasi terdapat 10 jenis vaksin yang perlu diambil bermula bayi. Ibu bapa perlu patuhi saranan ini demi kebaikan anak mereka sendiri.

“Pastikan anak kita menerima setiap vaksin yang disarankan, jangan ada yang tertinggal. Ini kerana anak kita boleh dijangkiti penyakit dengan mudah jika imunisasi badan lemah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan bertemakan Profesion Diperkasa Masyarakat Sejahtera di Management & Science University (MSU) di Shah Alam, hari ini.

Noor Hisham mengulas mengenai 90 pelajar dan guru Sekolah Menengah Agama (SMA) Kuala Lipis di Pahang yang disahkan menghidap beguk sejak 20 Februari lalu.

Sebelum ini, 70 pelajar dan tiga guru SMKA Kuala Lipis dikesan alami kes sama dan Selasa lalu, 17 lagi pelajar sekolah berhadapan masalah itu.

Antara simptom penyakit itu ialah demam, sakit kepala, sakit otot, hilang selera, bengkak dan sakit di kelenjar air liur.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, ibu bapa dinasihatkan tidak bimbang dengan wabak beguk kerana Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah tambahan bagi mengawalnya daripada menular.

“Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran berhubung perkara ini. Mereka yang dijangkiti dinasihatkan tidak keluar rumah mahupun bergaul dengan orang ramai.

“Beguk bukan penyakit yang perlu kita bimbang, namun ia bukan bermakna orang ramai perlu mengambil mudah dengan penyakit ini. Kebiasaannya beguk ini akan hilang dengan sendirinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 4:34 PM