HM Digital

Kuala Lumpur: Penghuni berdaftar Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai rekod bersih dalam menjelaskan sewa layak mengetepikan bayaran deposit untuk memiliki unit kediaman mereka.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata, langkah pertama iaitu usaha pemutihan akan diambil sebelum keputusan untuk menjual unit PPR kepada individu yang layak diluluskan.

Jika penyewa penghuni sah PPR, beliau berkata, bayaran sewa yang dijelaskan sepanjang tempoh sewaan pula akan ditukarkan kepada wang deposit ketika mereka ditawarkan perjanjian jual beli unit kediaman berkenaan.

“Jika tidak culas membayar sewa, jumlah wang itu akan dijadikan deposit pembelian unit PPR yang ketika ini berkadar RM35,000 seunit di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak, RM42,000.

“Ini sebahagian daripada skim sewa milik yang dilaksanakan kerajaan supaya setiap rakyat memiliki kediaman,” katanya menjawab soalan tambahan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) di Dewan Rakyat, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 6:35 AM