Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kejayaan memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama membolehkan seramai 25,277 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikecualikan daripada membuat bayaran balik sehingga 30 April lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, jumlah itu adalah sesuatu yang membanggakan kerana ramai peminjam yang mampu menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang.

“Inisiatif pengecualian bayaran balik terhadap peminjam yang mendapat keputusan kelas pertama itu akan diteruskan pada masa depan dan ini adalah sebahagian daripada penghargaan kerajaan terhadap kejayaan mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Anuar Abdul Manap (BN-Sekijang) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

PTPTN turut meluluskan 596,152 pinjaman membabitkan peruntukan keseluruhan RM15.19 bilion untuk tempoh 2012 hingga 31 Disember lalu.

Katanya, untuk tempoh yang sama juga, seramai 1,627,236 peminjam lama juga dikehendaki membayar balik pinjaman berjumlah RM12.64 bilion.

“Daripada jumlah itu, 1,046,055 peminjam iaitu 64 peratus sudah mula membayar balik dengan jumlah kutipan sebanyak RM5.69 bilion.

“Namun, bilangan peminjam yang masih gagal membuat bayaran balik ialah seramai 581,181 orang membabitkan jumlah tertunggak keseluruhan RM4.51 bilion,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dalam tempoh sama juga, 134,664 peminjam disenarai hitam daripada meninggalkan negara.

Katanya, seramai 49,968 daripada peminjam itu sudah datang berbincang dengan PTPTN dan membuat bayaran balik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2015 @ 10:44 AM