PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) 7.45 pagi semalam. FOTO NSTP
PENUNGGANG motosikal maut dalam kemalangan di KM36 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) 7.45 pagi semalam. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian kemalangan maut di KM36 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) 7.45 pagi semalam untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadar berkata, dalam kejadian itu, seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha LC maut selepas dipercayai dilanggar lari oleh kenderaan yang belum dikenal pasti.

Katanya, mangsa berusia 24 tahun yang menunggang berseorangan dalam perjalanan dari arah USJ ke Shah Alam, tercampak ke tengah jalan selepas dilanggar dan maut serta merta di tempat kejadian akibat parah di kepala.

"Polis menerima laporan kejadian itu pada 9.17 pagi sebelum menemui mangsa terbaring di tengah jalan dengan kecederaan parah di bahagian kepala.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa sudah pun meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Muhammad Azlin berkata, polis sudah menghubungi keluarga mangsa yang berasal dari PPR Raya Permai, Sungai Besi untuk pengecaman mayat.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini tiada saksi yang melihat kejadian itu tampil memberikan maklumat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian.

"Jadi, kita berharap agar saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan.," katanya.

Menurutnya, saksi kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor

Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222 bagi menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 10:29 AM