Mangsa, N. A. Logan, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Mangsa, N. A. Logan, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Mohd Azam Shah Yaacob


LELAKI maut apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah kereta yang sedang mengundur di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 21.6, Lebuhraya Kuala Lumpur - Kuala Selangor (LATAR) kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Mangsa, N. A. Logan, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa yang menunggang motosikal model Yamaha LC 135 dalam perjalanan dari arah Selayang ke Ijok.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar sebuah kenderaan model Hyundai Getz dipandu seorang lelaki.

“Siasatan awal mendapati kereta berkenaan sedang mengundur di lorong kecemasan dan mangsa mungkin tidak menyedarinya sebelum melanggar bahagian belakang kereta itu.

“Akibat pelanggaran berkenaan, mangsa tercampak di tengah jalan dan disahkan maut oleh unit perubatan yang tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azman berkata, pemandu serta penumpang kereta berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kejadian berlaku di laluan lurus lebuh raya berkenaan dan menerusi maklumat dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi mendapati kereta terbabit sedang bergerak secara mengundur.

“Bagaimanapun polis masih menyiasat dan memohon agar saksi yang melihat kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 5:52 PM