FARIS maut selepas terlibat dalam satu kemalangan, di Kilometer 59 Jalan Yong Peng - Kluang kira-kira jam 5.45 petang, semalam. FOTO/IHSAN POLIS.
FARIS maut selepas terlibat dalam satu kemalangan, di Kilometer 59 Jalan Yong Peng - Kluang kira-kira jam 5.45 petang, semalam. FOTO/IHSAN POLIS.
Adnan Ibrahim


GAGAL ‘memotong’ sebuah kereta dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil di sini, maut sejurus motosikal ditunggangnya bertembung kereta.

Dalam kejadian jam 5.40 petang kelmarin, mangsa, Mohd Faris Abdul Rahman, 17, maut serta merta di lokasi kejadian berhampiran Kilometer (KM) 59, Jalan Yong Peng-Kluang di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa berasal dari Kampung Tengah dekat sini, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Katanya, pemandu kereta Proton Wira dari Taman Melati, Paloh, tidak mengalami sebarang kecederaan namun keretanya ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 125Z cuba memotong sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya.

“Secara kebetulan, kereta Proton Wira muncul di lokasi menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum bertembung,” katanya.

KEADAAN motosikal Faris.
KEADAAN motosikal Faris.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan berharap pemilik kenderaan yang belum dikenal pasti itu tampil menyalurkan maklumat.

Pada masa sama, katanya, polis berharap saksi kejadian akan tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Julai 2019 @ 6:20 AM