GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PENGANGGUR dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan cubaan merogol dan melakukan rompakan berkumpulan terhadap eksekutif sumber manusia, empat tahun lalu.

Amyrul Amry Che Azman, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noradura Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba merogol mangsa yang berusia 40 tahun di rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil, Cheras di sini pada 9 pagi, 11 November 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang yang telah dituduh, didakwa melakukan rompak berkumpulan ke atas mangsa yang sama dengan melarikan wang tunai RM800, sebuah telefon bimbit, sebuah tablet, dua rantai leher emas, tiga cincin emas dan kunci kereta di tempat dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hafizza Sauni tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam berikutan kesalahan itu termasuk dalam kategori tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:49 PM