PEMBELI kondominium mewah di Jalan Danga Bay membuat aduan ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata.
PEMBELI kondominium mewah di Jalan Danga Bay membuat aduan ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata.
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Lima puluh pembeli kondominium mewah di Jalan Danga Bay di sini, yang tidak berpuas hati dengan kualiti pembinaan rumah berkenaan tampil mengemukakan aduan ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata untuk mendapatkan pembelaan di sini, semalam.

Pembeli, Low Yuen Nien, 55, berkata, mereka bercadang menuntut ganti rugi bernilai keseluruhan RM2.5 juta atau RM50,000 setiap seorang daripada pemaju projek.

Menurutnya, ia berikutan terdapat kecacatan mutu kerja dan ia tidak mengikut pelan serta butiran dalam perjanjian jual beli.

Katanya, perbincangan dengan pihak pemaju dilakukan beberapa kali, tetapi hingga kini tiada jalan penyelesaian menyebabkan pihaknya khuatir dengan tahap keselamatan sekiranya terus menghuni rumah itu.

“Sebaik menerima kunci rumah pada Oktober tahun lalu, saya dan keluarga berpindah ke rumah itu kerana lokasi kediaman baru itu berhampiran dengan sekolah anak.

“Bagaimanapun, saya mendapati cermin tingkap yang digunakan tidak berkualiti dan mudah pecah.

“Kalau cermin itu pecah dan kami terjatuh, siapa yang mahu bertanggungjawab,” katanya.

Low berkata, pihaknya keliru bagaimana permohonan sijil layak menduduki (CFO) pemaju diluluskan berikutan terdapat pelbagai kecacatan dan tidak selamat.

“Ini bukan rumah kategori lima bintang kerana kualitinya rendah dan menjejaskan keselesaan kami,” katanya.

Low berkata, pihak pemaju juga menjanjikan kediaman berkenaan turut dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan, tetapi hingga kini ia tidak siap.

“Ketika promosi jualan rumah ini, mereka menyatakan ada pusat beli-belah akan dibina dan sebagainya, tetapi ia tiada seperti dimaklumkan.

“Saya rasa terpedaya membeli rumah berharga lebih RM540,000 ini,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Lim Shun Bock, 53, berkata, jubin di bahagian bilik air dan dapur rumahnya juga seperti tidak disimen dengan baik dan dikhuatiri jatuh pada bila-bila masa.

“Walaupun, kami membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan, kebersihan tetap kurang baik.

“Selain itu, terdapat pembinaan aluminium yang dikhuatiri menghalang asap keluar di ruang tamu dan bila dipersoal, pemaju menyatakan ia diluluskan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.

Warga Singapura, Zhang Jianming, 50, berkata, dia membeli rumah di negara ini buat kali pertama.

“Saya sedih melihat hasil yang kurang sempurna walaupun dimaklumkan lokasi perumahan kami di kawasan bandar,” katanya yang membeli kondominium itu dengan harga RM800,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 8:10 AM