SULTAN Muhammad V menerima Fellowship Kehormat St Cross College, Universiti Oxford daripada Souter. Foto BERNAMA
SULTAN Muhammad V menerima Fellowship Kehormat St Cross College, Universiti Oxford daripada Souter. Foto BERNAMA
BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dianugerahkan Felo Kehormat St Cross College of Oxford, United Kingdom.

Seri Paduka menerima anugerah felo itu pada satu majlis di St Cross College pada malam Rabu dan penganugerahan itu meletakkan kedudukan baginda dalam rangkaian antarabangsa 14 Felo Kehormat dan Domus St Cross College.

St College Master, Carole Souter menyampaikan pingat dan sijil felo itu kepada Seri Paduka dengan disaksikan oleh Naib Canselor St Cross College Profesor Louise Richardson dan kakitangan akademik kolej.

St Cross College adalah satu daripada 38 kolej University of Oxford yang berprestij. Ia didedikasikan semata-mata kepada penuntut Siswazah dan Felo.

Souter dalam ucapannya berkata, Felo Kehormat di kolej itu terdiri daripada sekumpulan kecil individu terpilih yang sangat dihormati lagi terkemuka.

Felo Kehormat adalah anugerah berprestij yang dianugerahkan oleh universiti setiap tahun kepada individu yang melakar keunggulan yang mempunyai hubungan dengan universiti atau dengan Wales, dan memberikan sumbangan cemerlang dalam bidang pilihan mereka.

Penerima Felo Kehormat itu ialah pemegang anugerah itu seumur hidup dengan keistimewaan untuk menghadiri majlis jamuan secara berkekalan dan juga keistimewaan menjadi anggota kolej.

Sultan Muhammad V mendapat pendidikan di Oakham School, Rutland di England sehingga 1989 dan kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Diplomatik di St Cross College, Oxford dan Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

Seri Paduka kemudian berangkat menghadiri majlis makan malam bersama para tetamu lain sebelum ke Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) dan menanam pokok sempena lawatan ke pusat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 10:19 PM