AL-Sultan Abdullah (kanan) satu-satunya raja yang membuka pintu istana kepada ahli sukan untuk mengadakan lawatan. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah (kanan) satu-satunya raja yang membuka pintu istana kepada ahli sukan untuk mengadakan lawatan. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perasaan cinta kepada sukan dan atlet tanah air sememangnya tersemat dalam sanubari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak baginda memegang jawatan dalam bidang terbabit bermula tahun 80 an.

Malah, baginda cukup dikenali sebagai seorang berjiwa rakyat yang sering berusaha memahami keperitan dan kesusahan dialami ahli sukan di negara ini.

Berkongsi kenangan dan pengalaman bersama Yang Dipertuan Agong adalah pentadbir sukan tempatan Datuk V Radhakrishnan yang menyatakan baginda adalah kerabat raja pertama 'membuka pintu' istana kepada ahli sukan.

"Yang Dipertuan Agong sangat sayangkan sukan dan cukup passion dalam bidang terbabit. Tuanku sangat menyayangi sukan dan ahli sukan sejak baginda berkecimpung pada usia muda.

"Tuanku bermain hoki dan juga bola sepak. Baginda adalah satu-satunya raja yang membuka pintu istana kepada ahli sukan untuk mengadakan lawatan.

"Ahli sukan dahulu dan sekarang termasuk bekas pemain Piala Thomas atau mantan tonggak bola sepak dijemput untuk hadir ke istana.

"Hal ini secara tidak langsung menunjukkan baginda sebagai Raja sangat baik dan rendah diri apabila bersama dengan rakyat biasa," katanya, ketika ditemubual menerusi segmen kapsul Agong.

Mengikut rekod, sepanjang lebih tiga dekad dalam pentadbiran sukan, Al-Sultan Abdullah pernah memegang jawatan utama, antaranya sebagai Presiden PBNP (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang) pada 1984, seterusnya Presiden Seumur Hidup PBNP sehingga 2005.

Baginda juga pernah menjawat kedudukan sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Seri Paduka menjadi Timbalan Presiden FAM dari 1992-2007, kembali memegang jawatan itu dari 2010-2014, dan kemudian memegang pucuk kepimpinan sebagai Presiden FAM dari 2014-2017.

Al-Sultan Abdullah juga pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dari 2002-2015 dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dari 2015-2019.

Seri Paduka juga dianugerahkan AFC Diamond of Asia iaitu anugerah tertinggi bola sepak Asia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan baginda selama lebih tiga dekad dalam arena bola sepak di benua ini.

Baginda turut dilantik sebagai Ahli Kehormat FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) pada 2021, Ahli Lembaga Eksekutif FIH pada 2012, Penaung Diraja Persekutuan Hoki Asia (AHF) sejak 2019, selain pernah memegang pucuk kepimpinan AHF dari 2014-2019 dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dari 2008 hingga 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 4:01 PM