RAIMI sempat berswafoto bersama ikan malang yang ditangkapnya (kiri). Johari bersama Rapli (kanan) mengangkat ikan malang yang ditangkap. FOTO Khalid Latip
RAIMI sempat berswafoto bersama ikan malang yang ditangkapnya (kiri). Johari bersama Rapli (kanan) mengangkat ikan malang yang ditangkap. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


“Ayah pasti pulang bawa ikan besar,” kata Qaseh Qahrina, 4, anak bongsu kepada nelayan, Raimi Razali, 35, sebelum beliau keluar menangkap ikan, semalam.

Berasal dari Kampung Badong, Daro, Mukah, Raimi berkata, anak kesayangannya itu turut berpesan agar tidak lupa membelikannya barangan keperluan sekolah jika berjaya menangkap ikan berkenaan.

Baginya, pesanan itu hanya dianggap perkara biasa, lebih-lebih lagi anak bongsunya itu cukup manja dengannya, malah sama sekali tidak menyangka ia membawa tuah kepadanya apabila berjaya mendaratkan ikan malang gergasi seberat 51 kilogram.

"Ditemani adik ipar, Johari Semawi, 35, dan bapa mertua,Rapli Paee, 50, kami bertolak pada 4 pagi dan keadaan arus Sungai Lassa cukup tenang. Inilah rutin kehidupan kami di sini. Selepas tiga jam, kami mula menaikkannya semula.

"Jaring dirasakan agak berat berbanding kebiasaannya, malah turut disentap kuat ketika ditarik ke dalam perahu. Mulanya, disangka mea jerung tersangkut kerana melihat warna sirip belakangnya yang keputih-putihan," katanya ketika dihubungi The New Straits Times Press (NSTP) di Mukah, semalam.

Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila ikan berkenaan 'keletihan' dan berjaya ditarik ke dalam perahu.

"Adik ipar dan bapa mentua saya turut membantu menariknya. Selepas berhempas-pulas bertarung selama 15 minit, kami akhirnya berjaya mendaratkan ikan berkenaan.... ikan malang yang membawa tuah dan rezeki," katanya.

Raimi berkata, ikan berkenaan dijual pada harga kira-kira RM1,000 kepada peraih di Pekan Daro, dengan sebahagian daripada perolehan itu digunakan bagi menebus janji kepada anaknya.

"Sepanjang 14 tahun menjadi nelayan, inilah kali pertama saya menangkap ikan sebesar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 11:05 AM