MURAH Busera, 45, (berdiri di kiri) bersama rakan-rakan mengangkat bangkai buaya untuk dikuburkan di Matu. Sang bedal itu tersangkut di jaring ikan yang dipasang Murah dan adiknya di Muara Lassa. FOTO Khalid Latip
MURAH Busera, 45, (berdiri di kiri) bersama rakan-rakan mengangkat bangkai buaya untuk dikuburkan di Matu. Sang bedal itu tersangkut di jaring ikan yang dipasang Murah dan adiknya di Muara Lassa. FOTO Khalid Latip
Khalid Latip


“SAYA sangka jaring dipenuhi ikan tapi terkejut selepas melihat buaya tersangkut," kata nelayan, Murah Busra, 45.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang semalam, dia bersama adiknya sedang menangkap ikan benong di sungai berhampiran sungai Tanjung Jol Muara Lassa, Mukah, sebelum mendapati buaya tersangkut pada jaring.

"Jaring yang ditarik terasa begitu berat kerana saya terbayang ikan benong yang banyak tersangkut pada jaring.

"Kami kemudian berhempas pulas menarik jaring berkenaan tetapi terkejut selepas melihat buaya tersangkut," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, selepas beberapa minit menarik jaring, buaya dengan berat lebih 60 kilogram dan sepanjang hampir 4 meter itu sudah mati.

Katanya, ini adalah pengalaman pertamanya sepanjang enam tahun menjadi nelayan, reptilia berkenaan tersangkut pada jaring.

"Saya bersyukur kerana sang bedal berkenaan sudah mati kerana jika hidup sudah pasti ia akan bertindak agresif yang sudah pasti mengundang risiko kepada kami.

"Buaya berkenaan kemudian ditunda ke jeti sebelum ditarik ke darat untuk ditanam dengan bantuan penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:35 AM