TANAH runtuh sedalam hampir 30 meter  berhampiran asrama Institut Aminuddin Baki menyebabkan jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan. FOTO ihsan bomba
TANAH runtuh sedalam hampir 30 meter berhampiran asrama Institut Aminuddin Baki menyebabkan jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan. FOTO ihsan bomba
Mohd Azam Shah Yaacob


JALAN Gunung Buah berhampiran Institut Aminuddin Baki, Genting Sempah, Bentong ditutup kepada lalu lintas akibat tanah runtuh di tebing jalan itu, 2 pagi hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, runtuhan membabitkan keluasan kira-kira 50 meter menyebabkan ia tidak boleh dilalui semua kenderaan.

Beliau berkata, runtuhan berlaku kira-kira 10 meter dari sebuah bangunan institut berkenaan menyebabkan ia terpaksa dikosongkan kerana berisiko runtuh jika runtuhan di kawasan itu berlaku lagi.

“Buat masa ini, bangunan berkenaan dikosongkan kerana kawasan tapak runtuhan itu masih tidak stabil.

“Malah, laluan berkenaan ditutup kerana tidak boleh dilalui kenderaan termasuk kenderaan kecil,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sani berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai kejadian itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkenaan sudah menghantar wakil bagi membuat penilaian keselamatan bangunan serta tanah di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 9:45 PM