HM Digital

Kuala Lumpur: Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir meluangkan masa hampir tiga jam ketika kunjungan hormat di Balai Berita Bangsar, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), semalam.

Ketibaan Lakhdhir jam 10.30 pagi disambut pengurusan kanan diterajui Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Yushaimi Maulud Yahaya.

Delegasi dari Kedutaan AS antara lain disertai Atase Medianya, Morgan Obrien dan dua Pegawai Maklumat Khas Kanan iaitu Leni Abd Latif dan Hisham Selamat.

Turut hadir menyambut ketibaan mereka, Ketua Pengarang Eksekutif Kanan, Integrasi NSTP, Saidon Idris, Pengarang Eksekutif Integrasi NSTP, M Thillinadan, Pengarang Eksekutif New Straits Times, Muzli Mohd Zin dan Pengarang Berita Meja Luar Negara Integrasi NSTP, V Ashok.

Sebaik tiba, Lakhdir yang dilantik menyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa 10 Disember 2016 susulan memperoleh kelulusan Senat AS mendengar taklimat pengurusan NSTP mencakupi tiga penerbitan akhbarnya dan rangkaian saluran digital serta sistem analog Media Prima Berhad (MPB).

ABDUL  Jalil  (dua dari  kiri) bersama  Saidon  (kiri) memberi penerangan mengenai sistem operasi NSTP kepada  Lakhdhir (dua dari kanan) ketika membuat lawatan kerja di Balai Berita NSTP, semalam.
ABDUL Jalil (dua dari kiri) bersama Saidon (kiri) memberi penerangan mengenai sistem operasi NSTP kepada Lakhdhir (dua dari kanan) ketika membuat lawatan kerja di Balai Berita NSTP, semalam.

Selain pertukaran pandangan mengenai usaha pendigitalan media dirintis NSTP secara besar-besaran sejak 15 Januari lalu menerusi unit integrasinya, perbincangan lanjut terarah kepada pelbagai isu semasa.

Antaranya menyentuh mengenai Program Pengecualian Visa (VWP) yang tertangguh sejak zaman pentadbiran Presiden Barack Obama dan pendirian AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekali gus mencetuskan ketegangan dalam kalangan negara Islam.

Solidariti diterjemahkan kuasa besar termasuk AS terhadap siri penindasan rakyat Rohingya didalangi tentera Myanmar sehingga mereka melarikan diri mencari perlindungan di negara jiran turut hangat diperbincangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 9:28 AM