Khairul Azran Hussin


MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, media yang adil serta bertanggungjawab akan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, amalan kerajaan terdahulu yang sering menggunakan media untuk memutar belit sesuatu isu serta melaporkan berita berat sebelah tidak boleh berlaku lagi.

“Ia terbukti sebelum PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14), ada media bersikap tidak bertanggungjawab apabila menyiarkan berita tertentu secara tidak adil.

“Namun keputusan PRU-14 menggambarkan rakyat menolak corak laporan berita tidak seimbang.

“Jadi, dalam Malaysia Baharu, ia perlu diisi dengan budaya baharu. Saya meminta media melaporkan berita seimbang. Media adil akan dijadikan rujukan masyarakat,” katanya berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Menteri Besar Selangor bersama Media di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Datuk Yushaimi Maulud Yahaya; Pengarang Eksekutif Kanan Integrasi NSTP, Saidon Idris; Pengarang Eksekutif Berita Harian (BH), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Eksekutif Harian Metro (HM), Tuan Mohd Asri Tuan Hussein; Pengarang Eksekutif New Straits Times (NST), Muzli Md Zin dan Pengarang Eksekutif Integrasi NSTP, M Thilinadan.

Amirudin berkata, beliau tidak akan berkecil hati jika media melaporkan berita tidak memihak kepadanya dan kerajaan negeri.

“Saya faham tugas media. Saya ada berpesan kepada barisan EXCO kerajaan negeri supaya menjawab setiap persoalan dibangkitkan pihak media,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan tempoh 100 hari sebagai Menteri Besar Selangor sangat mencabar, termasuk terpaksa menempuh tiga pilihan raya kecil (PRK).

“Ia cabaran besar buat Selangor serta diri saya sendiri. Alhamdulillah berkat kerjasama semua pihak kita dapat menempuh tiga PRK ini dengan jayanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 10:42 PM
AMIRUDIN (tengah) bersama wakil media yang hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Bersama Menteri Besar Selangor di Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
AMIRUDIN (tengah) bersama wakil media yang hadir pada Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Bersama Menteri Besar Selangor di Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar.