ANGGOTA bomba  memadam kebakaran  rumah mangsa  di Kampung Chekok Serendah, Ketereh.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah mangsa di Kampung Chekok Serendah, Ketereh.
Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Jeritan jiran menyelamatkan enam sekeluarga daripada terperangkap dalam kebakaran di Kampung Chekok Serendah, Ketereh, semalam.

Ketika kejadian jam 9.30 pagi, pasangan warga emas berusia 70-an bersama anak perempuan serta tiga cucu berusia satu hingga lima tahun bersarapan di dapur.

Saksi kejadian, Mazlan Mamat, 56, berkata, ketika kejadian dia berada di kedainya yang menjual makanan haiwan bersama seorang pelanggannya.

“Tiba-tiba pelanggan saya ternampak asap dari rumah keluarga terbabit yang terletak di seberang jalan yang jaraknya kira-kira 30 meter.

“Saya dan rakan berlari ke rumah mangsa dan masuk ke ruang tamu yang dipenuhi asap sambil menjerit nama mangsa (pak cik) supaya menyelamatkan diri.

“Pada masa sama, rakan saya menutup suis utama di rumah berkenaan sebelum mereka sekeluarga keluar menyelamatkan diri menerusi pintu dapur,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain, berkata mereka menerima panggilan pada jam 9.37 pagi dan seramai 44 anggota bergegas ke lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 4:04 AM