MOHD Azmi dihukum penjara 29 bulan dan denda RM8,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
MOHD Azmi dihukum penjara 29 bulan dan denda RM8,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Hanneeyzah Bariah Baharin

LELAKI yang memiliki empat isteri dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 29 bulan, lapan sebatan dan denda RM8,000 selepas mengaku salah terhadap 12 pertuduhan menipu, mencuri dan memiliki barang curi di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohd Azmi Hashim, 44, dari Marang selepas tertuduh mengaku salah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Lelaki itu turut mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta, dua pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan dua pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi.

Mohd Azmi didakwa menipu enam wanita dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud dan memperdaya mangsa untuk menyerahkan wang antara RM100 hingga RM1,000 sebagai tanda persetujuan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 23 Febuari 2015, 4 Oktober 2017 serta 1 hingga 3 Januari lalu di enam lokasi berasingan di Kuala Nerus.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mencuri sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah kereta Perodua Myvi di hadapan stesen minyak Shell Wakaf Mempelam dan di hadapan kedai tayar Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu pada 10 pagi dan 2 petang, 8 Januari lalu.

Tertuduh juga didakwa mencuri barang berharga milik Nurhuda Razali, 21, dan Siti Fikriah Shahidah Mat Ariffin, 25, antara 10 pagi hingga 2 petang, pada 8 Januari lalu.

Mohd Azmi turut berdepan dua pertuduhan memiliki pelbagai barang curi berupa barangan kemas dan gajet milik pemilik kereta Perodua Viva dan Perodua Myvi berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 5:52 PM