ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan terhadap penagih yang ditahan di kediaman mereka.
ANGGOTA AADK melakukan pemeriksaan terhadap penagih yang ditahan di kediaman mereka.
Nurul Hidayah Bahaudin


Hulu Langat': Sepasang kembar ‘tua’ dikesan berkongsi minat sama menagih dadah heroin dengan menjadikan kediaman dihuni sebagai lokasi melepaskan ketagihan.

Pasangan kembar berusia 48 tahun itu adalah antara lima individu yang ditahan dalam Operasi Cegah (Op Cegah) yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat di dua lokasi berasingan di Kajang dan Semenyih, kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu, pegawai AADK Daerah Hulu Langat membuat serbuan di beberapa kediaman dan lokasi berhampiran semak yang menjadi sarang penagihan dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahamed berkata, dalam serbuan itu, mereka turut menahan pasangan kembar di rumah mereka di Kajang di sini.

“Ketika ditahan, kedua-duanya dalam keadaan khayal selepas dipercayai baru lepas menghisap dadah jenis heroin di dalam bilik mereka.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan menemui banyak peralatan dan bekas yang digunakan untuk menghisap dadah,” katanya.

Ramlan berkata, semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Abang kepada kembar terbabit baru saja tamat pengawasan pada tahun lalu manakala adiknya pula menghilangkan diri sebaik tamat pengawasan pada 2010.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati mereka positif dadah jenis heroin dan syabu,” katanya. Katanya, semua suspek yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 60 tahun itu dibawa ke pejabat AADK Daerah Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:43 AM