KEADAAN kenderaan selepas kemalangan. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kenderaan selepas kemalangan. FOTO ihsan bomba
Oleh Ibrahim Isa dan Mohd Sabran Md Sani


Muar: Wanita berusia 27 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan lori 10 tan di kilometer 42.5 Jalan Muar-Segamat, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa Nor Hidayah Mohtar dari Kampung Sebatu, Merlimau, Melaka, maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori terselamat.

Difahamkan, kereta dipandu mangsa dari Segamat menghala ke Muar dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian depan lori di hadapan.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superitendan Mohamad Salleh Abd Razak berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak, di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, sumber bomba dan penyelamat berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 6.31 pagi.

"Komander Operasi, Izuan Mohamad bersama jentera pergi ke lokasi kemalangan untuk membantu mangsa.

"Setibanya di situ, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan membabitkan kereta dan lori 10 tan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2015 @ 2:48 PM