KERETA Myvi yang terbabit kemalangan dengan treler. FOTO Ahmad Ismail
KERETA Myvi yang terbabit kemalangan dengan treler. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Tangkak: Dua lelaki maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki bertembung dengan treler di Kilometer 39.3 Jalan Muar-Tangkak dekat Sagil di sini, pagi tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 7.05 pagi itu, pemandu kereta, Muhammad Hazim Abd Halim, 25 dan penumpang Muhamad Fikri Amaludin, 24, meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala lelaki berusia 37 tahun yang memandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Perodua Myvi berkenaan dari arah Tangkak menuju ke Segamat dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Katanya, sebuah treler dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta dinaiki kedua-dua mangsa terbabit.

"Pemandu dan penumpang Perodua Myvi maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala.

"Mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Daerah Tangkak untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 4:05 PM