KEADAAN bas Rapid KL yang terbakar di Lebuhraya Persekutuan menghala Subang, petang tadi. FOTO Ihsan Bomba Petaling Jaya
KEADAAN bas Rapid KL yang terbakar di Lebuhraya Persekutuan menghala Subang, petang tadi. FOTO Ihsan Bomba Petaling Jaya
Mohd Hasbi Sidek


BAS terbakar 90 peratus di Kilometer 31, Lebuhraya Persekutuan, menghala ke Subang berhampiran susur keluar Jalan Templer, dekat Petaling Jaya, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, bas berkenaan terbakar ketika sedang bergerak, sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan itu dan mengarahkan tujuh penumpang turun.

Ketua Balai Petaling Jaya Pegawai Bomba Kanan II Hishamuddin Mustafa berkata, pihaknya menerima panggilan 4.45 petang sebelum pasukan dengan 14 anggota dan tiga jentera bergerak ke lokasi.

"Setibanya di lokasi kami mendapati bas yang diletakkan di bahu jalan sedang dijilat api. Pihak kami melakukan operasi pemadaman dan kebakaran dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian.

"Dalam masa sama pihak kami turut membuat pemantauan di lokasi bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap, namun difahamkan semua penumpang sudah berjaya keluar sebelum api merebak," katanya.

Sementara itu, Prasarana Malaysia Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memuji tindakan pantas kapten bas Rapid KL laluan 772 Pasar Seni - Mah Sing mengendalikan situasi cemas dalam insiden berkenaan.

"Laporan awal mendapati kapten bas terdengar bunyi pelik di bahagian belakang enjin. Kebetulan terdapat kereta peronda polis yang mengekori belakang bas membunyikan siren dan kapten memberhentikan bas di tepi jalan serta mengarahkan penumpang turun.

"Cubaan memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api tidak berjaya sebelum pihak bomba tiba di lokasi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Menurutnya, Rapid KL akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerugian.

"Kapten bas Rapid KL diberi latihan dan pendedahan simulasi dalam mengendalikan keadaan cemas atau luar jangkaan. “Tindakan kapten bas yang segera memberhentikan bas dan mengarah penumpang keluar dari bas adalah satu prosedur standard yang diamalkan oleh semua.

"Penumpang yang terkandas meneruskan perjalanan dengan menaiki bas yang seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 9:45 PM