KEADAAN pacuan empat roda selepas merempuh motosikal, semalam.
KEADAAN pacuan empat roda selepas merempuh motosikal, semalam.
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Seorang pengawal keselamatan maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Kilometer 23, Jalan Simpang Pertang-Machis, berhampiran Simpang Durian di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam kejadian jam 10.46 pagi, Kamaruzaman Abas, 55, menunggang motosikal Honda dari Machis menuju Simpang Pertang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa membuat pusingan U dan tidak menyedari kehadiran pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah sama.

“Motosikal ditunggang Kamaruzaman merempuh bahagian kanan kenderaan itu sebelum kedua-duanya terbabas di laluan bertentangan. Akibat kemalangan itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan,” katanya.

Kamarul Rizal berkata, polis menerima panggilan jam 11.10 pagi dan mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi. Mayat dibawa ke Hospital Jelebu di sini, untuk bedah siasat.

Katanya, kes dikendalikan Pegawai Penyiasat Inspektor Nurshazleen Miswan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:08 AM