Lizam Ridzuan


KAWASAKI Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kawasaki 2018 dengan tema ‘Fikir Keselamatan, Tunggang Dengan Bertanggungjawab’ di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.

Program tanggungjawab korporat dan sosial itu bersempena sambutan Tahun Baru Cina adalah kali ketiga dianjurkan KMSB bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.

Perasmian disempurnakan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam ucapannya beliau berkata, statistik kemalangan semakin meningkat setiap tahun.

“Sejak 2007 sehingga 2016, penyumbang utama kepada kemalangan maut ialah pengguna motosikal dengan 80 peratus disebabkan kecuaian penunggang," katanya.

Tiong Lai diiringi Pengerusi Eksekutif KMSB Malaysia, Ahmad Faez Yahaya (kiri) memberi topi keledar baru kepada penunggang motosikal selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Tiong Lai diiringi Pengerusi Eksekutif KMSB Malaysia, Ahmad Faez Yahaya (kiri) memberi topi keledar baru kepada penunggang motosikal selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi. FOTO Luqman Hakim Zubir

Antara program kempen itu ialah pemeriksaan percuma kepada semua jenis motosikal meliputi 16 bahagian penting oleh juruteknik Kawasaki yang terlatih.

Pemberian jaket pemantul cahaya dan penukaran topi keledar baru juga disediakan pada program yang berlangsung selama satu hari.

Ia mendapat sokongan dan kerjasama Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Agensi kerajaan yang terbabit ialah Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 8:24 PM