Lelaki berdiri di atas pintu gerbang mengancam untuk terjun di Kampung Muara Tebas, dekat Kuching, Sarawak. - Foto ihsan BOMBA
Lelaki berdiri di atas pintu gerbang mengancam untuk terjun di Kampung Muara Tebas, dekat Kuching, Sarawak. - Foto ihsan BOMBA
Ekhwan Haque Fazlul Haque


BOMBA menyelamatkan lelaki yang mengancam untuk terjun dari atas pintu gerbang setinggi kira-kira 10 meter di Kampung Muara Tebas di Kuching, hari ini.

Lelaki berusia 30-an itu dilihat penduduk kampung memanjat pintu gerbang berkenaan kira-kira 2.30 petang.

Cubaan penduduk memujuk lelaki yang dipercayai mengalami tekanan perasaan itu untuk turun, gagal.

Malah lelaki terbabit beberapa kali mengancam untuk terjun memaksa bomba dan polis dipanggil.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang sebelum pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba anggota bomba terus memujuk suspek supaya tidak meneruskan hasratnya untuk terjun.

Lelaki berkenaan yang tidak memakai baju itu bagaimanapun terus berdiri di tengah pintu gerbang, tidak mengendahkan pujukan bomba dan ahli keluarganya.

“Namun selepas dua jam, lelaki terbabit akhirnya akur dan membatalkan niat untuk tidak terjun selepas dipujuk anggota keluarganya,” katanya.

Lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 8:44 PM