ZULKIFLEE Abbas (tiga kiri) melancarkan Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar (tiga kanan). FOTO Azhar Ramli
ZULKIFLEE Abbas (tiga kiri) melancarkan Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar (tiga kanan). FOTO Azhar Ramli
Noorazura Abdul Rahman


SYARIKAT milik penuh MNRB Holdings Berhad (MNRB), Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS) dengan kerjasama Bank Rakyat melancarkan pelan perlindungan Takaful Amani Plus merangkumi pelan perlindungan lebih komprehensif dengan sumbangan serendah RM90 setahun atau RM0.25 sehari.

Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, pelan itu menawarkan jaminan kewangan terhadap kematian, hilang upaya semula jadi dan kerugian akibat kemalangan diri untuk pelanggan Bank Rakyat.

Katanya, Takaful Amani Plus adalah produk yang ditambah baik daripada pelan perlindungan Takaful Amani yang dilancarkan pada 2010 dengan penyertaan hampir 800,000 daripada pelanggan Bank Rakyat.

"Pelan yang ditaja jamin Takaful Ikhlas ini menawarkan manfaat sehingga RM30,000bagi kerugian akibat kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat semula jadi di samping manfaat hingga RM150,000 bagi kematian atau hilang upaya menyeluruh dan kekal akibat kemalangan.

"Pelanggan Bank Rakyat boleh mendapatkan pelan ini dengan sumbangan serendah RM90 setahun atau bersamaan RM0.25 sehari selain menawarkan tiga pilihan pelan perlindungan komprehensif dengan manfaat berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Pelan Perlindungan Takaful Amani Plus di Karnival Kewangan Bank Negara Malaysia di Alor Setar, hari ini.

Zulkiflee Abbas berharap dengan lahirnya pelan mampu milik itu, ia sedikit sebanyak dapat membantu menangani masalah yang sering mengakibatkan pengguna tidak berminat membeli pelan perlindungan takaful.

Dalam pada itu, Bank Rakyat turut memberikan Takaful Amani Plus secara percuma bagi tempoh setahun kepada 50 ibu tunggal di sekitar Kedah bersempena pelancaran pelan perlindungan itu.

Katanya, sumbangan pelan kepada ibu tunggal itu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat sebagai bank koperasi Islam penyayang demi mengurangkan beban kewangan golongan memerlukan dengan pelan perlindungan untuk seisi keluarga.

Hadir sama Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Berhad, Datuk Ab Latiff Abu Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 10:37 PM