NIK Amirah Syahmimi (kiri) bersama Mohd Azreen Shahiran (kanan) menunjukkan sijil penghargaan dan plak yang diterima selepas Majlis Anugerah Keusahawanan Politeknik Kota Bharu (PKB) 2017. Gambar Hazira Ahmad Zaidi.
NIK Amirah Syahmimi (kiri) bersama Mohd Azreen Shahiran (kanan) menunjukkan sijil penghargaan dan plak yang diterima selepas Majlis Anugerah Keusahawanan Politeknik Kota Bharu (PKB) 2017. Gambar Hazira Ahmad Zaidi.
Hazira Ahmad Zaidi

USAHA dan iltizam selain bijak menguasai ilmu perniagaan membolehkan Nik Amirah Syahmimi Nik Mahmood, 24, dinobatkan penerima Anugerah Graduan Usahawan Cemerlang, Politeknik Kota Bharu (PKB) 2017, malam tadi.

Graduan Diploma Pengajian Perniagaan PKB pada 2014 itu kini bergelar usahawan kosmetik muda dengan produk Demica dikeluarkan menembusi pasaran negara luar termasuk Singapura.

Nik Amirah Syahmimi berkata, dia menimba ilmu mengenai asas keusahawanan hingga ke China ketika masih menuntut di PKB yang sekali gus titik tolak kepada kejayaan dikecapi hari ini.

"Latar belakang keluarga yang bukan daripada orang senang mendorong saya berdikari dan mencari wang tambahan ketika masih belajar lagi.

"Ketika itu saya banyak menjual barang dalam talian seperti baju dan tudung. Pendapatan diperoleh itu pula, saya gunakan untuk tampung duit belanja selain bayar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Alhamdulillah, kini saya sudah bergelar usahawan dan mampu mengeluarkan produk kosmetik sendiri. Ibu bapa dan suami banyak mendorong kejayaan saya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Keusahawanan Politeknik Kota Bharu (PKB) 2017 di Kota Bharu, malam tadi.

Selain Nik Amirah Syahmimi, penuntut semester lima Diploma Pengajian Perniagaan, Mohd Azreen Shahiran Kamarulzaman, 22, menerima Anugerah Pelajar Usahawan Cemerlang.

Kedua-duanya membawa pulang plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Pengarah PK Noor Azahan Othman.

Mohd Azreen Shahiran berkata, anugerah ITU menjadi pemangkin untuknya terus cemerlang dan berjaya dalam perniagaan diceburinya ketika masih dalam pengajian.

"Pada Julai tahun lalu, saya menubuhkan syarikat untuk membekalkan barang binaan kepada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

"Saya harap pelajar lain juga mendapat inspirasi daripada apa yang saya lakukan untuk mengubah kehidupan kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Keusahawanan PKB, Dr Nik Azida Abd Ghani berkata, anugerah untuk mengiktiraf kejayaan graduan dan penuntut yang cemerlang dalam perniagaan sepanjang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 12:20 PM