USAHA dan iltizam membolehkan Nik Amirah Syahmimi bergelar usahawan kosmetik muda.
USAHA dan iltizam membolehkan Nik Amirah Syahmimi bergelar usahawan kosmetik muda.
Nor Amalina Alias


DI saat rakan sebaya masih menikmati usia remaja dan berseronok, berbeza dengan Nik Amirah Syahmimi Nik Mahmood, 27, yang memilih untuk mencari pendapatan menyara keluarga tercinta.

Sejak usia belasan tahun, dia mula melakukan pelbagai pekerjaan secara sambilan dengan menjual aneka barangan seperti kosmetik, pakaian dan tudung ketika belajar hingga menjejak kaki ke Politeknik Kok Lanas (PKB).

Malah, tanpa segan silu dia turut melakukan pelbagai jenis jualan di tapak pasar malam dan pasar tani dengan kudrat tulang empat keratnya.

Pada 2017 pula, dengan simpanan yang ada, dia tidak leka menikmati sedikit kesenangan hasil penat lelah jualan, sebaliknya mula mencari jalan mencipta pendapatan lebih tetap dengan menubuhkan syarikat sendiri yang berasaskan keperluan wanita iaitu kosmetik memandangkan dia turut mencintai dunia kecantikan.

Hasilnya selepas empat tahun, dia kini mampu berbangga apabila menjadi antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) termuda dalam negara dan menerajui perniagaan yang mencecah jutaan ringgit.

"Saya masih ingat antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan apabila mula-mula membuka perniagaan, saya mengajak rakan-rakan dan kenalan untuk menjadi ejen barangan saya.

"Ketika itu saya ajak dalam empat atau lima orang saja dan saya tunggu berjam-jam lamanya, namun tiada seorang pun yang muncul.

"Pada ketika itu saya hampir berputus asa kerana berasakan hanya diri yang terhegeh-hegeh untuk membantu orang lain," katanya.

AKTIF dengan aktiviti kebajikan.
AKTIF dengan aktiviti kebajikan.

MENGHARGAI usahawannya.
MENGHARGAI usahawannya.

Namun, berkat sokongan suami, Nik Muhd Syahiman, 27 dan keluarga, dia meneruskan hasrat membantu orang lain khususnya belia, pelajar dan suri rumah sepertinya menjana pendapatan sendiri.

Kini wanita berjiwa kental ini sudah melahirkan 8,000 usahawan terutama beliawanis dan beliawan menjana pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Dia yang mesra disapa Mimi berkata, walaupun masih di usia muda atau ketika sarat mengandung, dia tidak pernah berhenti mengejar ilmu perniagaan dan berusaha keras kerana faktor kesusahan keluarga menjadi iltizamnya untuk terus maju.

Justeru itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui atas pengalaman lalu, dia sentiasa menghargai individu dan pekerja di sisinya dengan memberi pengiktirafan kepada mereka setiap tahun.

Mimi mengakui, dia lebih memilih melatih orang muda sepertinya dalam kerjaya kerana memahami keadaan dunia ketika ini, faktor kewangan kini menjadi fokus utama.

Katanya, orang muda kini sukar mencari pekerjaan tetap meskipun mempunyai taraf pendidikan tinggi selain keadaan ekonomi yang dilanda pandemik Covid-19.

"Saya banyak ajar orang muda sebab saya faham keadaan mereka macam saya dulu ketika mencari rezeki dengan pelbagai cara.

"Ada ketika, orang muda ini khususnya pelajar, suri rumah muda jarang diberi peluang bekerja sebab faktor usia, pengalaman dan sebagainya. Sebab itu perniagaan saya fokus kepada mereka, mereka boleh pakai dan boleh jual kerana harganya juga mampu milik," katanya.

BERSAMA keluarga yang banyak beri dorongan.
BERSAMA keluarga yang banyak beri dorongan.

Lulusan Diploma Pengajian Perniagaan Politeknik Kota Bharu itu juga mahu mengubah persepsi golongan muda yang hanya mengharapkan kerja makan gaji sebagai kerjaya masa akan datang.

"Dulu tak banyak jalan untuk orang muda menonjol, tetapi kini pelbagai bantuan perniagaan, kelas pemasaran, ilmu berniaga yang kita boleh dapat di internet, sebab itu saya juga sentiasa meningkatkan kemahiran dalam teknologi baharu, sejak berniaga tiada istilah rehat dalam hidup saya," katanya.

Mimi berkata, dia juga tidak ketinggalan menjadikan laman sosial sebagai salah satu medium untuk membantu perniagaan. Hingga kini dia bukan sahaja CEO yang berjaya, tetapi juga antara Instafamous di Malaysia.

Malah, hasrat awal Mimi untuk mengubah nasib keluarga turut mengubah nasibnya sehingga menjadi usahawan berjaya, sekali gus sebagai inspirasi ramai pihak.

Bagaimanapun, apa yang dilihat di mata kasar tidak seindah yang disangkakan. Katanya, semakin banyak kejayaan dikecapi, semakin banyak pengorbanan yang perlu dilakukan.

"Saya hanya tidur beberapa jam selebihnya saya bekerja, malah perlu bijak membahagikan masa untuk anak-anak, suami, ibu bapa dan keluarga mertua.

"Dalam masa sama, saya perlu sentiasa memikirkan perniagaan yang berdepan banyak saingan, bagaimanapun saya tidak pernah menyesal dengan jalan yang saya pilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 7:00 AM