Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (kanan) menyoal penagih yang ditahan. FOTO Zulfa Mohamad.
Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor (kanan) menyoal penagih yang ditahan. FOTO Zulfa Mohamad.
Zulfa Mohamad


DUA pelajar antara 23 penagih ditahan pada operasi bersepadu membanteras kegiatan penagihan dadah di Bakau Tua, Penaga, Kepala Batas, hari ini.

Operasi bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari itu membabitkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) SPU.

Ia dibuat hasil maklumat awam serta risikan.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua pelajar itu berusia 15 tahun serta 16 tahun dan turut ditahan, seorang remaja berusia 18 tahun.

“Ketiga-tiganya positif methamphetamine serta heroin. Dua daripadanya mengambil kesempatan sempena cuti sekolah untuk ke sarang penagihan ini bagi melepaskan gian.

“Penagih lain berusia 20 tahun hingga 60 tahun, termasuk yang pernah ditahan sebelum ini. Bagi melepaskan diri, ada penagih turut terjun ke parit,” katanya.

Noorzainy berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 dan pihaknya turut merampas sejumlah methamphetamine dan dapur kecil untuk memasak dadah.

Menurutnya, kawasan sama sudah diserbu 10 kali tahun ini tetapi masih ada penagih tidak serik walaupun sudah ditahan beberapa kali.

“Lima daripada penagih dibawa ke Balai Polis Kepala Batas manakala 18 lagi dibawa ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Kampung Selamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 2:38 PM