Meor Riduwan Meor Ahmad


PEMANDU pelancong berusia 39 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan mencederakan bekas isterinya dengan menggunakan cuka getah minggu lalu.

Tertuduh, Azhan Ramli, 39, yang kelihatan mengesat air mata di kandang pesalah membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan kepada Mazlina Rahani, 33, dengan menggunakan cecair mudah melecur iaitu cuka getah.

Azhan didakwa melakukan kesalahan itu di pekarangan Sekolah Kebangsaan Bayas, Langkawi pada 7 Januari lalu, antara 9.45 hingga 10 pagi mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya tidak menawarkan jaminan namun dirayu peguam Saidina Khatijah Zaharah Khairunisak Mohd Noor dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atas alasan tertuduh penanggung tunggal keluarga.

Katanya, Azhan sebelum ditangkap bekerja sebagai pemandu pelancong dengan pendapatan RM1,000 sebulan serta mempunyai tanggungan dua anak berusia tujuh dan lapan tahun yang bersekolah serta ibunya.

Majistret Mohd Aizuddin Zokeply selepas menimbangkan rayuan membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa.

Kes untuk fakta dan hukuman ditetapkan pada 23 Januari depan di Mahkamah Majistret Langkawi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:59 PM