Zuliaty Zulkiffli


JABATAN Tenaga Kerja (JTK) Kedah meminta semua ejen syarikat pakej umrah yang mendakwa tidak dibayar sejak dua bulan lalu tampil untuk memberi maklumat lengkap berhubung perkara itu bagi membantu siasatan.

Penolong Pengarah Tenaga Kerja Kanannya, Iskandar Jassa berkata, mangsa perlu membawa segala dokumen berkaitan untuk memudahkan siasatan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengarahkan pegawainya untuk menjalankan siasatan ke pejabat urusan syarikat itu untuk berbincang dengan majikan berhubung masalah itu.

"Kita mempunyai banyak kaedah untuk membantu menyelesaikan isu ini tetapi mereka perlu tampil segera berjumpa kami di pejabat JTK Anak Bukit, di sini untuk memudahkan siasatan dilakukan," katanya dihubungi hari ini.

Harian Metro kelmarin melaporkan 10 ejen pakej umrah membuat laporan polis terhadap syarikat mereka kerana tidak menyediakan kemudahan seperti dijanjikan dan setimpal dengan wang dibayar jemaah.

Mereka mendakwa sepanjang bekerja di syarikat beroperasi di Sungai Petani itu, mereka dipertanggungjawabkan menguruskan semua pakej bayaran jemaah yang mendaftar.

Selain itu mereka mendakwa tidak dibayar gaji selama dua bulan sejak bekerja di syarikat itu pada Oktober lalu menyebabkan mereka bersepakat untuk berhenti kerja.

Berita berkaitan

'Kami bimbang dipersalahkan jemaah umrah'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 9:34 PM