DR Hilmi  (tengah) bersama sebahagian murid kurang berkemampuan yang menerima kelengkapan persekolahan pada Program Back To School anjuran  TNB, semalam.
DR Hilmi (tengah) bersama sebahagian murid kurang berkemampuan yang menerima kelengkapan persekolahan pada Program Back To School anjuran TNB, semalam.
HM Digital

Balik Pulau: Kementerian Kesihatan tidak bercadang menggunakan ketum sebagai ubat tahan sakit atau rawatan penagihan dadah, walaupun struktur dan molekul tumbuhan itu terbukti menyerupai morfin.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ia berikutan masalah salah guna ketum yang berleluasa dalam kalangan masyarakat hingga menyebabkan pelbagai kesan sampingan kepada pengguna.

Menurutnya, kesan sampingan penyalahgunaan ketum juga seperti penagih morfin yang menjejaskan hati dan sistem imunisasi individu terbabit, selain kulit wajah mereka akan kelihatan berwarna kuning dan pucat jika diminum secara berlebihan.

“Kita juga bercadang menggubal Akta Racun 1951 yang diguna untuk menyelia aktiviti berkaitan ketum dengan menambah elemen larangan penanaman tumbuhan ini secara komersial, tahun hadapan.

“Ia kini di peringkat akhir dan dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada sidang seterusnya bagaimanapun, kelonggaran diberikan kepada pihak penyelidik dengan kelulusan penanaman ketum perlu diperoleh secara terus daripada Menteri Kesihatan.

“Justeru, saya ulangi pendirian bahawa tiada cadangan menggunakan ketum sebagai ubat,” katanya selepas menyerahkan sumbangan kelengkapan sekolah kepada 200 murid pada Program Back to School anjuran Tenaga Nasional Berhad di sini, semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, Universiti Sains Malaysia (USM) masih menjalankan kajian mengenai potensi tumbuhan Mitragyna speciosa atau ketum sebagai ubat baru penahan sakit dan rawatan penagihan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 10:08 AM