MOHD Syukri Sabree didenda RM25,000 kerana menggaji PATI di premis perniagaan, semalam. FOTO Mary Victoria Dass
MOHD Syukri Sabree didenda RM25,000 kerana menggaji PATI di premis perniagaan, semalam. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


ENAM majikan dijatuhi hukuman denda keseluruhan RM75,000 selepas mengaku bersalah menggaji seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Mahkamah Sesyen Khas PATI Pekan Nanas di Pontian, hari ini.

Tertuduh ialah pemilik restoran makanan Jepun di Batu Pahat, Mohd Syukri Sabree Low Abdullah, 48, pengusaha kilang buah-buahan di Batu Pahat Tan Kak Leong, 39, dan peniaga kedai runcit di Gelang Patah Mohd Hisham Mustafa, 44.

Turut didakwa, pengusaha kolam ikan di Johor Bahru Mohd Sahir Mohd Tahir, 42, pemilik restoran di Senai Loh Ah Tong, 71, dan peniaga kedai runcit di Gelang Patah Khairul Achi Zulkifli, 26.

Mereka didakwa menggaji antara seorang hingga lima PATI di premis perniagaan masing-masing antara 1 November hingga 6 Disember tahun lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau tidak lebih RM30,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mahkamah Sesyen Khas PATI Zahilah Mohammad Yusoff menjatuhi hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara terhadap tertuduh bagi kesalahan membenarkan setiap imigran berada dalam premis perniagaan.

Mohd Syukri Sabree dijatuhi hukuman denda tertinggi iaitu RM25,000 atau 10 bulan penjara selepas mengaku bersalah menggaji lima PATI membabitkan warga Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Indonesia di restoran miliknya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Norhasimah Othman manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Loh turut mempamerkan kad klinik dan menyatakan tidak mampu menjelaskan denda RM10,000 atas faktor kesihatan selain kewangan tidak kukuh.

Dia yang mengaku menggaji seorang PATI mendakwa hanya memiliki RM1,000 bagi membayar denda.

Loh turut memohon bagi meringankan hukuman denda berulang kali atas alasan menyara keluarga, namun permohonannya ditolak.

Manakala, Khairul Achi dihukum denda RM5,000, Kok Leong (RM10,000), Mohd Hisham (RM5,000) dan Mohd Sahir (RM20,000).

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Norhasimah Othman, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 2:11 PM