Operasi mencari dan menyelamat  Law   masih diteruskan APMM dengan bantuan pihak bomba dan nelayan tempatan.
Operasi mencari dan menyelamat Law masih diteruskan APMM dengan bantuan pihak bomba dan nelayan tempatan.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Seorang nelayan tempatan dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari botnya sewaktu menangkap ikan di perairan Kuala Sepetang, Larut Matang, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi, mangsa, Law Ah Hing, 62, dipercayai terjatuh ke dalam laut lapan batu nautika dari Kuala Sepetang selepas bot dinaikinya dipukul ombak besar.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Kuala Kurau Leftenan Komander Maritim Mohamad Zainal berkata, pihaknya yang menerima laporan kejadian itu kemudian mengerahkan aset APMM bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Operasi mencari dan menyelamat itu dijalankan bot kilat APMM dan sehingga jam 2 petang ini (semalam), mangsa masih belum ditemui.

“Operasi dijalankan dengan bantuan aset udara APMM dan bantuan bomba serta 15 bot nelayan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohamad berkata, pihaknya akan memperluaskan lokasi pencarian sekiranya mangsa belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 8:50 AM