Murni Wan Omar


MAHKAMAH Rayuan Putrajaya memerintahkan bekas pegawai daerah, Roslan Yahaya, 57, menjalani hukuman penjara enam bulan lagi atas kesalahan mencabul wanita yang juga bekas kakitangannya.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki dalam keputusan, sebulat suara menambah hukuman penjara yang dikenakan terhadap Roslan selepas menerima rayuan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed.

Pada 1 April 2016, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap Roslan selepas didapati bersalah atas keputusan itu.

Roslan sudah selesai menjalani hukuman penjara itu November lalu, bagaimanapun dengan keputusan hari ini, dia perlu menjalani hukuman penjara enam bulan lagi.

Mahkamah juga memerintahkan denda RM2,000 yang dikenakan terhadap Roslan dikembalikan semula kepadanya.

Pihak pendakwaan sebelum ini merayu atas keputusan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi selepas tidak berpuas hati dengan hukuman itu.

Turut bersidang bersama adalah Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Roslan diwakili peguam Muhammad Nor Izzat Nordin dan Fitra Qalbi Hatta Mohamad Zin.

Roslan didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan seorang wanita di pejabatnya di Jalan Betek, Sungai Rambai di sini pada 26 April 2010.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana mana dua daripada hukuman itu.

Roslan kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM150,000 atas kesalahan memberi rasuah RM30,000 kepada suami wanita itu untuk menarik balik dakwaan gangguan seksual terhadapnya

Bagi perbuatan itu, Roslan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 5:42 PM